Pertumbuhan dan Perkembangan Bahasa Arya

Teori Dua Cabang Arya

Penutur-penutur bahasa jenis begini dikenali sebagai orang Arya. Dari sebutan ini, terbitlah nama Iran dan mungkin juga Éire (Ireland) di hujung benua Eropah.

Walaupun tanah air asal orang Arya munasabahnya terletak di utara Caucasus. Namun, rekod-rekod terawal mengenai mereka bukannya muncul dari rantau utara Caucasus mahupun dari negeri-negeri Indo-Irani. Sebaliknya, ia muncul dari selatan Caucasus iaitu dari kerajaan Mittani di utara Mesopotamia. Dinasti pemerintah di situ mempunyai nama-nama Arya serta memuja dewa-dewa Arya seperti dewa Indra. Kerajaan ini sudah pun berdiri semenjak abad ke-2 SM. 

Perpindahan orang Arya yang terutama bukannya ke selatan, sebaliknya ke timur masuk ke Asia Tengah. Mereka menembusi secara berasingan ke India dan Iran. Orang-orang Arya di India dan di Iran pun berkembang secara berasingan. Kebudayaan dan bahasa mereka pun bertumbuh secara berasingan.

Peringkat tertua bahasa orang Arya di Iran diwakili oleh bahasa Avestan iaitu bahasa suci pengikut ajaran Zaratosh serta bahasa Parsi Purba bertulisan Pepaku di inskripsi-inskripsi empayar Achaemanid. 

Pengaruh Tamadun Sindhu

Di sebelah benua kecil India, satu tamadun yang berkembang maju dan bersifat bandar telah pun wujud sejak sebelum ketibaan orang-orang Arya lagi. Tamadun ini disebut sebagai tamadun Lembah Sindhu yang diketahui oleh orang zaman moden menerusi carigali arkeologi kota Mohenjo-Daro dan Harappan. Kedua-dua kota tersebut dikesan sekurang-kurangnya wujud semenjak pertengahan abad ketiga milenia. Kebudayaan di situ stabil beberapa lamanya dan mereka mempunyai sistem tulisan sendiri. Kota-kota ini kemudian menghilang secara tiba-tiba dan para sarjana cenderung sekali untuk mengaitkan hal ini dengan kemasukan beramai-ramai orang Arya. Namun, pelik juga kerana terdapat sela masa yang tidak dapat dijelaskan dengan baik kerana tamadun Sindhu ini kelihatan terhapus kira-kira pada 1700 SM. Tidak pula terdapat bukti mengenai ketibaan orang Arya ke benua kecil India sebelum lewat separuh kedua milenia.

Lestarinya bahasa Brahui di Balochistan sehingga kini jauh dari rantau bahasa Dravidia lain di sebelah selatan benua kecil India membuatkan sesetengah sarjana selesa untuk menyimpulkan bahawa bahasa jenis Dravidia ini dipertutur secara meluas sebelum ketibaan orang Arya. Mereka mencadangkan bahawa bahasa Dravidia dituturkan di kota-kota lembah Sindhu. 

Sehingga ke zaman buku panduan bahasa Sanskrit tulisan Michael Coulson ditulis, dakwaan mengenai bahasa Dravidia sebagai bahasa yang meluas di sebelah Lembah Sindhu masih belum dapat dibuktikan kecuali jika proses mengesan asal-usul tulisan dari dua kota purba itu berjaya dan diterima sarjana-sarjana akademia. Di benua India, wujud juga kelompok bahasa lain contohnya seperti bahasa Mua yang dituturkan oleh orang Austroasia. 

Walaupun bahasa orang Arya nampaknya berkembang sendirinya di kebanyakan rantau di utara benua India, namun kelihatan juga mereka ini dipengaruhi oleh orang-orang yang dijajahi atau orang-orang yang dihubungi oleh mereka. Dalam hal ini, mereka nampaknya dipengaruhi dari segi pengucapan oleh orang Dravidia dan orang Mua. 

Pengucapan bahasa yang diperkenal oleh orang-orang Arya di benua kecil India itu berkembang dan menjadi pelbagai pula. Kebanyakan bahasa moden di India Utara berasal dari bahasa dan loghat orang Indo-Arya ini. Istilah linguistik umum untuk pengelasan bahasa-bahasa ini pun adalah bahasa Indo-Arya. Seseorng itu boleh membahagikan tahap perkembangan bahasa orang Arya ini kepada tiga tahap iaitu tahap: