Bahasa Sanskrit pada Zaman Pāṇini

Bahasa Sanskrit semasa zaman Panini bukan sahaja dihormati sebagai bahasa kelas terpelajar tetapi juga merupakan bahasa yang paling hampir sekali dengan bahasa kitab suci. Penggunaan bahasa Sanskrit sering dipersoal oleh beberapa kelompok yang kurang senang dengan sikap atau tindak-tanduk bangsa Brahmin ketika itu. Oleh itu, penulisan-penulisan awal penganut ajaran Buddha dan Jina dibuat dalam pelbagai bahasa Indo-Arya pertengahan dan bukan dalam bahasa Sanskrit. Mengikut laporan juga, disebut bahawa baginda Buddha menegaskan bahawa ajaran baginda mestilah diberikan dalam bahasa tempatan di tempat ajaran itu disampaikan.

Walau bagaimanapun, bahasa Sanskrit tetap dilestarikan oleh pelbagai golongan masyarakat. Tidak semestinya bangsa Brahmin sahaja. Bukti penting mengenai hal ini boleh dilihat pada penyampaian epik-epik Hindu itu sendiri. Mahabharata dan Ramayana dibaca dan dipindahkan secara lisan oleh sūta atau bangsa campuran dalam bahasa Sanskrit. Walaupun asal-usul bangsa ini lebih lama daripada bahasa Sanskrit itu sendiri, namun mereka sudah wujud ketika abad pertama masehi lagi. Mereka menggunakan bahasa Sanskrit. Tetapi bentuk bahasa Sanskrit mereka lebih condong kepada bahasa Sanskrit klasik dengan campuran ciri-ciri bahasa Indo-Arya pertengahan dari segi sintaksis dan morfologinya.

Bahasa Sanskrit klasik ini merupakan bahasa percakapan sehari-sehari dan bukannya bahasa yang bersifat buku. Manfaat menggunakan bahasa Sanskrit ini adalah kerana peranannya sebagai lingua franca yang menyatukan seluruh rantau Arya yang berkebudayaan Hindu. Hal ini bolehlah dibandingkan dengan penutur bahasa Melayu di Malaysia yang menggunakan pelbagai jenis loghat menggunakan bahasa Melayu Johor-Riau atau bahasa Melayu klasik apabila berbual. Tatkala bahasa jenis Indo-Arya Pertengahan ini berkembang dan dialek-dialeknya yang pelbagai itu mula berubah menjadi berbeza dari satu sama yang lain, bahasa Sanskrit klasik yang berperanan menjadi bahasa lingua franca ini menjadi begitu penting. Pada ketika inilah juga, ajaran Brahmana menjadi berpengaruh. Pada awal abad masihi, bahasa Sanskrit jenis ini diterima menjadi satu-satunya bahasa pentadbiran serta bahasa wahana pendidikan pada awalnya di utara benua kecil India dan kemudian di selatan benua kecil India.