Sastera Sanskrit Wajib Baca


Terdapat beberapa cadangan untuk mempelajari beberapa sastera berbahasa Sanskrit seperti berikut bagi mengenalpasti bentuk dan gaya bahasa Sanskrit yang digunakan sejak beribu-ribu tahun yang lalu. Setakat maklumat yang tuan tanah ada adalah seperti berikut:
  • Vālmiki Rāmayāṇa, ia mempunyai lebih kurang 25,000 seloka dan struktur bahasanya mudah difahami serta ringkas. Sastera ini memang sudah terkenal di Asia Tenggara terutamanya di rantau-rantau yang majoritinya adalah penganut ajaran Buddha dan penganut Brahmana.
  • Mahabharata, sastera yang memaparkan bahawa sentimen dan dilema manusia itu adalah abadi walaupun konteksnya berubah-rubah. Mahabharata bukan hanya sekadar ceritera berkenaan perang saudara antara Kuru dan Pandava. Ia mengandungi hal-hal berkenaan muka bumi, pentadbiran, dharma dan dasar-dasar diraja. Selain itu, ia mengandungi pelbagai gita dan salah satunya adalah Bhagavadgita.
  • Puraṇa-Puraṇa, Resi Vedavyasa tidak hanya mengarang sebahagian daripada sastera Mahabharata. Beliau turut mengarang purana-purana. Terdapat sebanyak 18 purana utama dengan isi kandungan sebanyak 400,000 seloka. Hal Resi Vedavyasa berkemungkinan mengarang hanya satu sahaja purana adalah cerita yang lain. Kebanyakan ceritera terkenal dan amalan-amalan yang biasa kita lihat itu bukannya muncul dari Veda, Vedanta dan Vedanga. Perkara-perara tersebut juga tidak tersebut dalam dua kitab itihasa seperti Ramayana dan Mahbharata. Sebaliknya ia muncul dari purana-purana. Disebabkan ada banyak jenis purana maka yang disyorkan untuk pelajar bahasa Sanskrit sebagai pengenalan adalah Śiva Purana, Vayu Puraṇa dan Harivaṃśa.
  • Arthasastra, sastera ini dikarang oleh Kautilya atau Chanakya berkenaan dengan politik pentadbiran negara dan meliputi hal-hal berkaitan seperti strategi pentadbiran, percukaian, perundangan dan hubungan antarabangsa. Terdapat bahagian-bahagian yang sama dalam Śanti Parva dan Anuśāsana Parva dari Mahabharata juga. Chanakya Niti walaupun salasilahnya agak kurang pasti namun ia boleh dijadikan rujukan.
  • Pañchatantra, bacaan ini adalah ajaran tatasusila yang disampaikan dalam bentuk seperti Aesop Fables. Dari sini kita dapat mempelajari mengenai sikap tindak-tanduk manusia serta dasar-dasar yang tidak terbatas kepada anak-anak raja sahaja.
  • Dharmasūtra dan Dharmaśastra, disebabkan sastera-sastera ini membentuk asas kepada norma-norma peribadi, perundangan umum dan juga amalan-amalan perundangan serta sering disalahgunakan oleh mereka yang sebenarnya tidak pernah membacanya pun, kenapa kita tidak cuba membacanya sendiri dalam bahasa Sanskrit? Tanpa maksud kepada kedua-dua jenis kitab tersebut, cadangannya adalah supaya pembaca membaca Apasthambha, Gautama, Vasiṣṭha, Manusmṛti, Yajñavalkyasmṛti, Narada, Viṣṇu, dan Bṛhaspati sebagai asas.
Teks-teks jenis lain adalah seperti Vedanta atau Vedanga, Gitagovindam dan Mahakavya. Setakat ini aku berasa malas dan tidak cukup masa. Oleh itu, aku menyimpannya untuk masukan masa hadapan sahaja dan jika usia aku panjang.

Pengumpul: Northern Gate
Tarikh: 26 Dis 2018
Sumber Gambar: Kagyu Tiger, Mahamudra Seal, Tashi Mannox Calligraphy (online)