Pandangan Sarjana tentang Bahasa Pali

T. W. Rhys Davids dalam buku beliau yang berjudul 'Penganut Buddha India' dab Wilhelm Geiger dalam buku beliau berjudul, 'Sastera Pali dan Bahasa', menyatakan bahawa bahasa Pali ini berkemungkinan berasal dari sejenis bahasa lingua franca yang digunakan dalam kebudayaan antara orang ramai di utara benua kecil India pada ketika itu. Bahasa ini mungkin digunakan sebagai bahasa perantara dalam kalangan penutur yang berbeza-beza loghat di utara benua kecil India Utara, digunakan pada zaman baginda Buddha dan digunakan sendiri oleh baginda Buddha dalam kehidupan baginda.

Sarjana lain pula berpendapat bahawa pada ketika itu, bahasa Pali didefinisikan sebagai bahasa terbaik dalam bentuk tempatan yang dituturkan oleh mereka yang bertamadun dalam India Utara. Kesarjanaan moden masih belum mencapai persetujuan bersama mengenai hal ini. Terdapat banyak sekali teori yang bercanggah sesama sendiri iaitu yang menyokong pendapat tersebut dan yang menolak pendapat tersebut. Teori menyatakan bahawa selepas kemangkatan baginda Buddha, bahasa Pali mungkin berkembang sendiri dalam kalangan penganut Buddha dari bentuk yang digunakan oleh baginda Buddha menjadi bentuk bahasa yang baru pula.

R.C. Childers yang berpegang dengan teori bahawa bahasa Pali adalah bahasa Magadhi lama menulis bahawa, "Jika baginda Buddha tidak menyebarkan ajaran baginda, tidak mungkinlah bahasa Magadhi itu menjadi bahasa yang terhormat dalam kalangan bahasa tempatan lain di benua kecil India, kecuali jika ia mempunyai kekuatan pengaruh selari yang menjadikannya seolah-olah seperti bahasa Tuscani (sejenis loghat Itali) dalam kalangan penutur bahasa Prakrit".

K. R. Norman menyatakan bahawa biara-biara Buddha di Utara India kelihatan seperti mempunyai kumpulan bahan-bahan berasingan yang dipelihara dalam loghat tempatan mereka. Pada abad awal, kelihatan seperti penterjemahan dari satu bahasa ke satu bahasa lain tidak diperlukan bagi penyebaran bahan-bahan ini ke kawasan lain. Pada pemerintahan maharaja Asoka, sudah muncul pecahan bahasa dan percubaan dibuat untuk menyatukan semua bahan-bahan sastera agama.

Kemungkinan juga, sesuatu bahasa yang agak rapat hubungannya dengan bahasa Pali dalam sastera suci muncul sebagai kesan daripada kompromi antara loghat-loghat berbeza di mana bahan-bahan awal tersebut dipelihara. Bahasa ini lantas menjadi lingua franca dalam kalangan penganut ajaran Buddha di Timur India bermula ketika itu. Selepas zaman itu, bahasa ini mengalami proses pensanskritan pula. Contohnya, perkataan Bamhana menjadi Brahmana. Manakala perkataan tta menja tva dalam sesetengah keadaan.

Pandangan Sarjana Moden

Bhikkhu Bodhi merumuskan keadaan terkini dalam kesarjanaan. Beliau menyatakan bahawa bahasa Pali ini rapat sekali hubungannya dengan bahasa (atau mungkin loghat yang muncul dari satu bahasa) yang dituturkan oleh baginda Buddha sendiri. Beliau mengulas lanjut:
Sarjana menganggap bahawa bahasa ini adalah satu jenis bahasa gabungan yang menggabungkan pelbagai jenis loghat bahasa Prakrit sekitar abad ketiga sebelum masihi. Ia tertakluk juga kepada proses separa pengsanskritan. Sementara bahasa ini tidak sama dengan bahasa yang pernah dituturkan oleh baginda Buddha, namun ia masih lagi tergolong dalam kelompok bahasa yang sama kerana bahasa yang digunakan oleh baginda Buddha mungkin berasal dari ruang konsep yang sama. Bahasa ini menggambarkan alam pemikiran yang diwarisi oleh baginda Buddha dari kebudayaan Hindu yang lebih luas lagi kerana baginda Buddha sendiri pun lahir dalam kebudayaan Hindu, maka perkataan dalam bahasa itu pun turut mencakupi nuansa dalam alam pemikiran itu.
Menurut A. K. Warder, bahasa Pali ini adalah sejenis bahasa Prakrit yang digunakan di wilayah Barat India. Warder mengaitkan bahasa Pali dengan ruang lingkup budaya Hindu yang digelar sebagai Janapadavanti, di mana aliran Buddha awal iaitu aliran Sthavira pernah berpusat di situ.

Berikutan dengan perpecahan Sangha, cawangan aliran Sthavira menjadi berpengaruh di Barat dan Selatan benua kecil India. Aliran Mahasanghika pula berpengaruh di Tengah dan Timur benua kecil India. Akira Hirakawa dan Paul Groner mengaitkan bahasa Pali di Barat benua kecil India dengan aliran Sthavira dengan mencadangkan bukti dari batu bersurat di Girnar, Gujarat kerana bentuk bahasanya adalah hampir sama dengan bentuk bahasa Pali.