Perkamusan Bahasa Pali

Perkamusan ini merujuk kepada pengajian perbendaharaan kata sesuatu bahasa atau pengajian perkamusan. Hampir setiap perkataan dalam bahasa Pali itu mempunyai padanan dengan bahasa Prakrit lain. Bahasa-bahasa ini adalah bahasa orang-orang Arya atau orang-orang bertamadun di benua kecil India. Contoh bahasa Prakrit lain adalah bahasa Prakrit yang digunakan oleh penganut Jain.

Hubungan bahasa Pali dengan bahasa Sanskrit awal contohnya seperti bahasa Sanskrit Veda adalah tidak terus dan rumit. Dari segi sejarahnya, hubungan saling mempengaruhi dirasai dalam kedua-dua bahasa ini. Persamaan antara bahasa Pali dengan bahasa Sanskrit ini selalu dibesar-besarkan melalui perbandingannya dengan karangan-karangan bahasa Sanskrit kemudian yang ditulis beberapa abad sebelas bahasa Sanskrit berhenti menjadi bahasa percakapan seharian. Selain itu, bahasa Sanskrit mula menerima pengaruh dari bahasa-bahasa zaman pertengahan di benua kecil India termasuklah menerima pinjaman terus dari kosa kata bahasa-bahasa tersebut.

Di samping itu, banyak istilah-istilah teknikal dari bahasa Pali kemudian dipinjam dari kosa kata yang digunakan dalam bidang-bidang yang setara yang ditulis dalam bahasa Sanskrit sama ada secara terus atau dipinjam secara penyesuaian sebutan. Bahasa Pali selepas zaman sastera agama Buddha turut meminjam perkataan dari bahasa-bahasa tempatan di tempat bahasa Pali digunakan. Contohnya, bahasa Pali di Sri Lanka meminjam perkataan dari bahasa Singhala. Penggunaan bahasa Pali begini membezakan bahasa Pali yang berada dalam Suttapitaka dengan karangan-karangan kemudian seperti ulasan dalam bahasa Pali sastera agama dan penglipur lara misalnya ulasa kepada sastera Jataka serta pengajian perbandingan. Pentarikhan teks berdasarkan kepada kata pinjaman itu kini menjadi satu bidang pengajian yang tersendiri pula.

Bahasa Pali tidak semestinya digunakan secara mutlak sebagai wahana penyampaian ajaran Buddha seperti yang disimpulkan apabila melihat kepada penggunaannya dalam teks-teks agama. Sebaliknya, ia turut digunakan dalam teks-teks sekular seperti teks sains perubatan atau arahan-arahan penjagaan kesihatan.

Walau bagaimanapun, minat sarjana dalam bahasa ini kebanyakannya bertumpu kepada pengajian sastera rohaniah, kejiwaan dan sastera falsafah kerana ia turut membuka ruang pula kepada satu fasa perkembangan ajaran kerohanian yang telah ditempuhi oleh para Arya atau mereka yang mulia budi pekerti serta bertamadun tinggi.