Bahasa Indo-Arya Pertengahan

Bahasa Indo-Arya Pertengahan sudah wujud dan berkembang sebelum terhasilnya karya tatabahasa bahasa Sanskrit Panini. Ia merupakan bahasa pertuturan orang awam dan berkembang lebih pantas daripada bahasa kelompok pendita. 

Istilah saṃskṛta bermaksud yang digilap (dari segi tatabahasa) sedangkan istilah prākṛta merujuk kepada pengucapan orang awam. Bahasa Sanskrit ditafsirkan dengan meluas sebagai bahasa Indo-Arya lama di benua kecil India sedangkan bahasa Prakrit pula ditafsirkan sebagai bahasa Indo-Arya pertengahan.

Secara sempitnya pula, bahasa Indo-Arya pertengahan boleh dibahagikan kepada tiga pula iaitu:
  • bahasa Pali, bahasa yang digunakan untuk merekod sastera ajaran Buddha dalam skala besar dan juga loghat yang digunakan dalam batu bersurat maharaja Asoka (250 SM). Proses permudahan sebutan berlaku dalam kelompok hurus konsonan contohnya perkataan bahasa Sanskrit, traividya menjadi tevijja dalam bahasa Pali.
  • bahasa Prakrit betul, iaitu bahasa Māhārāṣṭrī, bahasa Śauraseni dan bahasa Magadhi serta pelbagai loghat bahasa yang digunakan dalam kitab agama penganut Jina.
  • bahasa Apabhramśa, istilah umum yang menjelaskan mengenai evolusi seterusnya bahasa Indo-Arya pertengahan sehingga penghujung abad pertama M seterusnya menandakan kemunculan bahasa Indo-Arya moden seperti bahasa Hindi, Punjabi, Gujarati, Marathi dan lain-lain
Bahasa Hindustan merujuk kepada bentuk-bentuk bahasa yang digunakan dari Rajasthan sehingga ke Bihar. Dari bahasa tersebut, muncul bahasa Urdu dan juga bahasa Hindi yang digunakan oleh komuniti-komuniti di India dan Pakistan. Bahasa Urdu mengalami proses Persianisasi dan menerima pengaruh dari Persia dan dari Tanah Arab. Sedangkan, bahasa Hindi pula adalah bentuk bahasa yang dinyah-Parsikan dan di-Sanskritkan dalam proses Sanskritisasi selepas perpecahan benua kecil India menjadi Republik India dan Republik Pakistan.
Rujukan: Michael Coulson (2003) Teach Yourself Sanskrit, Hodder & Stoughton Ltd.
Dikumpulkan oleh: Northern Gate
Penghargaan: Bapa aku atas sokongan beliau terhadap pendidikan semoga beliau menerima dana pahala sepanjang zaman dan semoga beliau menjelma di alam tinggi
Tarikh: 25 Disember 2018